Episod 3- Kebimbangan Amran
“Apa kata kau pindah jelah kat rumah sewa aku. Rumah aku kat Nusajaya, at least dekat sikit kau nak pergi kerja,” Cadang Syafik.
Waffey terdiam sejenak lalu berfikir, dia berpendapat bahawa ada betulnya cadangan Syafik mengajak dia pindah ke rumahnya, masakan perjalanan dari rumah Syafik ke tempat kerjanya cuma memakan masa kurang dari dua puluh minit tambahan pula kos sewa rumah menjadi semakin murah apabila dibahagikan secara sama rata namun begitu apa pula alasan yang hendak dikemukakan kepada Mak cik Salmah tuan punya rumah sewa yang sedang di duduki oleh Waffey sekarang. Dia baru sahaja mendiami rumah tersebut kurang dari seminggu.
“Hmm okey jugak cadangan kau tu tapi kalau boleh tunggulah sampai hujung bulan ni. Nanti apa pulak kata mak cik yang punya rumah sewa tu bila tahu aku tiba-tiba je nak pindah,” Balas Waffey setelah merasakan bahawa itulah cadangan terbaik buatnya.
“Tak kisahlah, apa-apa pun pintu rumah aku sentiasa terbuka untuk kau, maklumlah orang bujanglah katakan,
Waffey tergelak kecil sambil berjalan mengekori Syafik berjalan menuju ke meja kerjanya yang baru. Suasana janggal dan asing di pejabat ini cuba diatasinya dengan sebaik mungkin apatah lagi pejabat inilah yang bakal menjadi tempatnya bekerja mencari rezeki untuk dia meneruskan hidupnya yang penuh cabaran dan berliku ini.
Kelihatan juga beberapa orang petugas-petugas disitu memandang ke arah Waffey seraya melemparkan senyuman sebagai tanda mengucapkan selamat datang dan Waffey sebagai anak jati melayu yang penuh didikan agama dan budaya membalas senyuman itu dengan penuh mesra sebagai tanda terima kasih dan rasa hormat.
“Okey, Waffey ni meja kau. Kalau ada apa-apa yang kau nak tanya, tanya saja pada petugas-petugas kat sini. kami semua tak ada masalah.” Ujar Syafik kemudiannya meminta diri untuk menyambung kembali tugas-tugasnya yang tertangguh.
Waffey hanya menganggukkan kepalanya tanda mengerti butir-butir ayat yang keluar dari bibir sahabat barunya itu.
“Terima kasih Syafik.”
Syafik hanya membalas ucapan terima kasih Waffey itu dengan sebuah senyuman lalu dia segera beredar dari situ.
“Kebanyakan petugas disini semuanya, baik-baik belaka, nampaknya tak ada masalah aku nak sesuaikan diri kat sini tapi masalahnya macam mana pula aku nak sesuaikan diri aku bekerja dibawah arahan Fatin?” Getus hati Waffey.
******
“Betul ke apa yang awak beritahu saya ni?” Tanya Amran seolah-olah tidak mempercayai apa yang telah didengarinya sebentar tadi.
“Ya betul, tak akan saya nak tipu awak pulak,” Jawab Fatin.
Amran duduk bersandar diatas kerusi restoran Alif yang terletak di Kampung Melayu Majidee sambil menghela nafasnya, lalu wajah Fatin direnung.
“Dia masih lagi macam dulu ke?”
“Ya, masih tak berubah, masih lagi cuba mempertahankan dirinya yang jelas ternyata bersalah,” Ujar Fatin kemudiannya menyedut minumannya.
“Huh, orang kalau dah bersalah mana ada yang nak mengaku,”
Amran meletakkan sudu diatas pinggannya menandakan dia tidak berminat untuk menjamah lagi makanan itu. Entah kenapa malam ini seleranya tiba-tiba sahaja hilang sebaik sahaja mengetahui berita bahawa Waffey telah ditukarkan ke tempat kerja tunangnya itu. Amran benar-benar tidak selesa dengan situasi yang dihadapinya ketika ini.
“Awak masih sayangkan dia?” Tanya Amran seraya merenung wajah tunangnya itu dengan sorot mata yang mengambarkan perasaan iri hati.
“Apa yang awak merepek ni?” Balas Fatin seraya mengerutkan dahinya.
Amran harus akui bahawa perasaan cemburu dan rasa tergugat yang terbit disaat munculnya Waffey dalam kehidupannya kembali sedikit sebanyak menganggu kotak fikirannya. Waffey yang dahulunya pernah menjadi kekasih hati Fatin pasti tidak akan berdiam diri, pasti dia akan mencari jalan untuk mendapatkan kembali cinta hati Fatin.
“Saya tanya samaada awak masih sayangkan dia ataupun tak itu sahaja. Awak sendiri pun tahu hakikatnya awak dan dia saling melayari bahtera cinta meredah ombak ganas di samudera empat tahun yang lepas,”
“Tapi sayangnya, bahtera cinta yang kami kemudi bersama dulu tak mampu nak menghadapi ombak tsunami yang mengganas Amran. Apa yang telah dia lakukan kepada saya memang cukup berat untuk saya menerimanya,” Balas Fatin.
Amran mendiamkan dirinya, lidahnya yang selalu petah berbicara menjadi kelu, mulutnya pula terkunci rapat, dia khuatir perasaan Fatin akan berubah arah. Amran mengalihkan pandangannya ke arah meja sepasang kekasih yang sedang menikmati makan malamnya.
Jika dahulu dia cuma mampu bermimpi saat indah ketika keluar bersama Fatin tetapi kini dia sudahpun berjaya bertakhta dihati Fatin namun begitu kehadiran Waffey cukup membuatkan kedudukan takhtanya goyah dan rapuh.
“Awak risau saya kembali kepada Waffey ke?” Fatin tersenyum manis seolah-olah dapat membaca apa yang telah membelenggu fikiran Amran.
Amran mengalihkan semula pandangannya ke arah Fatin yang duduk dihadapannya lalu tangan Fatin dicapai dan digenggamnya.
“Masakan saya tidak risau sayang, say…………….”
“Awak tak perlu risau Amran. Hati, nafas, denyut nadi dan perasaan saya hanyalah milik awak seorang,” Pintas Fatin seraya mengunci bibir Amran dengan jari telunjuknya.
“Saya sayangkan awak semenjak dari saat pertama saya melihat awak ketika pertemuan pertama kita dahulu hingga kini, saya masih sayangkan awak,” Ujar Amran sambil mengenggam tangan Fatin dengan penuh erat.
“Amran, apa yang telah Waffeylakukan kepada saya dahulu cukup perit bagi saya untuk menerimanya tapi kehadiran awak cukup membahagiakan saya dan saya nak awak tahu Amran, kisah cinta saya dan Waffey adalah satu kesilapan. Saya tak sepatutnya mengikut kata hati saya dan saya nak awak tahu juga yang saya adalah milik awak sepenuhnya cuma…………………….bersambung.
nantikan sambungannya pada setiap hari selasa dan khamis terima kasih dari pihak RIDHWAN SAMIN PUBLISHING ucapkan kerana sudi membaca
EPISOD SEBELUM DAN SELEPAS (sila klik disini)
EPISOD SEBELUM DAN SELEPAS (sila klik disini)
No comments:
Post a Comment